![]() |
| Mawaddah Bersama Ustaz Pahrol Juoi |
Setiap
kali menerima manuskrip daripada penulis, saya akan membelek-beleknya terlebih
dahulu. Saat saya membaca sekali lalu bait-bait dalam manuskrip Mawaddah Yang
Istimewa ini, bacaan saya terhenti pada lampiran gambar-gambar seorang anak
kecil. Tanpa dipinta, mutiara jernih sudah bertakung dalam kelopak mata.
"Aduh, bolehkah aku terus buat ni?" soal
saya seorang diri. Jiwa mulai goyah untuk meneruskan kerja-kerja menyusun atur
isi manuskrip itu sebelum dicetak. Risau andai air mata sahaja yang asyik keluar, bukan buku yang keluar
nanti.
Hati
saya tersentuh melihat gambar-gambar dan kisah-kisah si kecil bernama Mawaddah
yang dikurniakan sejenis sindrom yang jarang-jarang ditemui iaitu
Wolf-Hirchhorn Syndrome (WHS). Inilah sebuah kisah perjuangan hebat yang dilalui oleh Dr. Mahyudin Ahmad & Puan Asmin sekeluarga
sepanjang membesarkan anak mereka yang istimewa ini.
Saya masih ingat kata-kata adik Puan Asmin (Teh Ma) yang
dinukilkan di dalam buku ini, Mawaddah ini merupakan ‘Tetamu VIP’ yang diutus
Allah untuk ummi dan ayah di dunia ini.
Kata-kata yang menyentuh jiwa. Kadang-kala, kita menganggap
orang yang serba kekurangan sama ada dari aspek jasad, akal, harta dan
sebagainya ini hanya 'masalah' dan 'sampah' sahaja. Namun, jika dipandang dari
sudut rohaniah, Allah sebenarnya hadirkan mereka untuk memberikan pahala lebih
untuk kita. Ya, sememangnya mereka tetamu VIP! Mungkin kerana mereka, kita ke
Syurga.
Syukur, buku ini telah siap dicetak dan bersedia untuk menemui
para pembacanya. Buku ini telah dilancarkan bersama tetamu istimewa, Ustaz
Pahrol Ahmad Juoi baru-baru ini di Himpunan Sahabat Penulis Zakat Kedah. Bagi yang ingin memiliki buku Mawaddah Yang
Istimewa ini, boleh hubungi nombor telefon seperti di dalam gambar di bawah.
Samara Yusuf
Penulis dan Editor Pena Padi

